Sunday, February 1, 2009

Jawapan Kepada Tulisan "Kebenaran Tanpa Penghujung"

Assalamualaikum / Salam Sejahtera.

Disini saya ingin berikan sedikit pendapat atau jawapan peribadi saya kepada tulisan yang bertajuk "Kebenaran Tanpa Penghujung" dimana tulisan ini cuba untuk minta masyarakat Malaysia supaya tidak memboikot KFC. Tulisan ini saya sertakan dibawah.

Setelah meneliti penulisan ini, maka saya dapati tiada sebab kenapa kita perlu berhenti memboikot KFC. Pendapat saya, kita tetap perlu teruskan memboikot KFC.

Berdasarkan penulisan ini, kenapa kita tetap perlu terus boikot KFC?

1. Penulis mengatakan "Manusia menjadi musuh dengan apa-apa yang tidak diketahuinya" kerana kononnya masyarakat Malaysia memboikot tanpa usus periksa dan perlu membuat kajian terlebih dahulu. Saya setuju dengan kenyataan ini tetapi masyarakat Malaysia bukalah semuanya malas membuat kajian.

Dalam tulisan ini, penulis juga mengatakan bahawa Malaysia hanya menggunakan jenama (brand) KFC semata-mata dan tidak membayar apa-apa cukai atau sebarang keuntungan kepada KFC induk di Amerika Syarikat. Cuma membayar yuran penggunaan jenama. KFC Malaysia adalah hak milik kita.

Pendapat saya, banyak syarikat selain dari KFC yang menggunakan sistem ini. Banyak syarikat Malaysia yang menggunakan sistem ini. Ada kilang di Malaysia. Pekerjanya adalah masyarakat Malaysia. Jadi adakah kita boleh 'benarkan' pembayaran yuran penggunaan jenama ini?

Bayaran penggunaan Jenama ini pasti yurannya bukan ribu-ribu, bukan puluhan ribu, bukan ratusan ribu tetapi mungkin berjuta ringgit. Pada pendapat saya, saya tidak mahu walaupun 10 sen disalurkan kepada US / Yahudi laknatullah.

Keadaan ini, pendapat saya samalah kita mengatakan bahawa tak mengapa mencuri 10 sen. Tapi kalau 100 tu tak boleh la.

Sedangkan adakah kita akan mati kebuluran jika kita tidak makan di KFC? Ada banyak lagi alternatif lain jika kita ingin makan ayam goreng.

2. Penulis cuba untuk mengaitkan isu boikot dengan isu menghisap rokok yang pada pendapat saya adalah 2 isu yang berbeza. Penulis mengatakan kenapa kita heboh ingin boikot KFC tetapi biarkan sahaja orang merokok. Saya bersetuju dengan penulis yang mengatakan kita tidak boleh menghisap rokok tetapi isu ini jelas berbeza.

Hisap rokok memang tidak boleh tetapi kita juga perlu boikot produk yang boleh berikan keuntungan kepada US / Yahudi Laknatullah.

3. Penulis mengatakan bahawa ribuan pekerja KFC akan terjejas jika kita boikot KFC. Sememangnya boikot adalah isu yang besar dan bukan mudah untuk dijayakan tanpa menjejaskan masyarakat Malaysia itu sendiri. Jika kita mengatakan jangan boikot kerana pekerja KFC akan terjejas maka samalah juga dengan pekerja McD, samalah juga dengan pekerja kilang Nestle, pekerja kilang Meggi, pekerja di Cerrefour dan banyak lagi. Oleh itu jika kita berpendapat begitu, kita tidak boleh boikot apa-apa produk sekalipun.

Tujuan boikot adalah bukan hanya tidak makan di KFC, tidak makan di McD, tidak minum Milo sahaja tetapi tujuan yang besar adalah tidak mahu bergantung dengan syarikat-syarikat dari US / Yahudi ini yang secara tidak langsung kita juga memberikan keuntungan yang banyak kepada mereka. Isu ini isu besar yang perlukan pegorbanan yang besar dari semua pihak terutama mesyarakat Islam. Agenda ini juga mungkin memakan masa yang agak lama.

Tidak dinafikan, ada juga mengalami masalah nak boikot. Nak tukar ke Colgate ke ubat gigi Mukmin bukan main susah. Saya sendiri mengalami masalah mahu tukar ubat gigi Colgate kepada ubat gigi yang berasaskan cengkudu yang dikeluarkan oleh syarikat orang Islam tempatan suatu masa dahulu. Rasa gigi tidak bersih. Tengok-tegok berus gigi pun jadi hitam tetapi inilah pegorbanan. Tak mengapa, ada beberapa lagi jenama dari Malaysia yang kita boleh cuba. Terlalu sedikit pegorbanan ini jika dibandingkan dengan pejuang-pejuang Hamas yang menggadakan nyawa mereka. Atau anda sanggup pergi berjuang disana?

Dari segi pekerjaan, pekerja seperti KFC mungkin akan terjejas tetapi mungkin sedikit masa nanti syarikat Ayam Goreng Pak Ali (100% syarikat Islam, Malaysia) akan muncul berkembang. Mungkin kita perlu dapatkan pekerjaan disini pula.

Pendapat saya, bukanlah saya minta pekerja KFC berhenti kerja sekarang. Ini langkah yang tidak baik kerana kita masih perlukan wang untuk menyara keluarga. Dapatkan kerja lain, baru berhenti. Sama juga bagi mereka yang telah membeli sedozen ubat gigi Colgate. Jangan buang ubat gigi Colgate yang telah kita beli. Guna sampai habis dulu dan pembelian berikutnya jangan beli lagi Colgate. Kita perlu bijak dalam boikot. Tujuan boikot tercapai dan kita tidak rugi.

4. Penulis mengatakan kita perlu menghargai usaha Tan Sri-Tan Sri, Dato-dato yang telah bangunkan syarikat KFC. Saya juga berterima kasih kepada mereka tetapi saya saya mohon agar Tan Sri-Tan Sri, Dato-dato ini melihat peluang untuk bangunkan jenama sendiri. Jangan biarkan 10 sen pun wang rakyat Malaysia jatuh ke tangan US / Yahudi. Tan Sri-Tan Sri, Dato-dato berhentilah jadi 'posmen' penghantar wang dari rakyat Malaysia kepada US / Yahudi.

5. Pada pendapat saya, penulis telah 'membenarkan' yuran jenama ini dibayar kepada US / Yahudi dengan hanya mengambil kira kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurus KFC sahaja. Sudah pasti mereka ini ingin menyelamatkan bisnes mereka. Sudah pasti mereka ingin kekal dengan jawatan CEO, pengarah ataupun pegawai-pegawai dalam KFC.

Saya tidak iri hati dengan jawatan mereka. Tak mengapa jika mereka mahu kekalkan jawatan CEO tetapi mulakan bisnes ayam goreng yang lain. Bangunkan jenama lain seperti MFC (Malaysia Fried Chiken). 100% jenama Malaysia. 10 sen pun wang tidak mengalir ke US / Yahudi. Langkah ini mungkin tidak mudah tetapi mohon Tan Sri-Tan Sri, Dato-dato mulakan. Pekerja-pekerja Tan Sri-Tan Sri, Dato-dato di KFC juga Tan Sri-Tan Sri, Dato-dato boleh behijrah ke syarikat baru ini.

Kesimpulan:

Pada pendapat saya, apa sahaja jenama yang berkaitan dan boleh berikan keuntungan kepada US / Yahudi kita perlu boikot tanpa apa-apa alasan dan tanpa berdolak dalih lagi. Ingatlah, Islam tidak menghalalkan cara. Cara Robin Hood tidak boleh digunakan dalam Islam. Mencuri untuk menolong orang lain itu tidak boleh. Mencuri tetap salah.

Pada pendapat saya, samalah juga dalam hal ini, tetap mahu bayar yuran kepada US / Yahudi semata-mata ingin jaga periuk nasi adalah tidak boleh sedangkan kita mampu untuk jalankan bisnes sendiri yang tidak ada kaitan dengan mereka.

Kita perlu konsistant dalam boikot. Sememangnya sukar jika dah 40 tahun minum milo tiba-tiba perlu minum jenama lain. Memang sukar jika dah 20 tahun terbiasa makan di KFC dan McD, tiba-tiba mahu makan di tempat lain. Memang sukar jika dah 40 tahun guna Colgate tetapi sekarang mahu guna jenama Mukmin. Inilah yang dipanggil pegorbanan.

Fikirkan jika umur kita dah 40 tahun, sudah berapa banyak wang yang kita salurkan kepada US / Yahudi. Sudah berapa banyak peluru yang kita bekalkan untuk membunuh orang islam tanpa kita sedari. Sedarlah. Apa kita mahu jawab di hadapan Allah nanti? Sedangkan kita ada beberapa alternatif lain. Tukar jenama. Dan seperti yang saya katakan tadi, kita tidak akan mati kebuluran jika kita tidak makan di KFC atau McD tetapi kita pasti bertanggung jawab jika kita terus salurkan wang kita kepada US / Yahudi walaupun 1 sen.

==========================================

Kebenaran Tanpa Penghujung

Oleh Muhammad Azli Shukri

"Manusia menjadi musuh dengan apa-apa yang tidak diketahuinya. " - ini adalah pepatah orang-orang Arab. Bukan hadis nabi. Namun demikian, kata-kata ini banyak kebenarannya. Saya sedikit agak kecewa, bahkan mungkin merungut sedikit. Saya memohon maaf jika tulisan saya kali ini agak pedas dan keras (syadid) sikit daripada biasa. Hal ini adalah kerana saya sememangnya tidak gemar apabila seseorang begitu mudah memberi hukum tanpa usul periksa. Isu memboikot barang-barang tertentu yang jelas bersekongkol dengan Israel, saya tegaskan bahawa saya sangat bersetuju dilaksanakan, tetapi lakukan boikot tersebut dengan bijaksana dan berhikmah. Bukan dengan membuta-tuli atau berlandaskan kejahilan serta kebodohan yang kita miliki.

Umat Islam menjadi lemah adalah disebabkan sifat ingin tahu mereka terlalu rendah. Malah, untuk mencari ilmu pengetahuan pun kita begitu malas. Umat Islam, khususnya di Malaysia- lebih gemar mendengar khabar angin daripada menyelidik untuk mencari kebenaran. Lantaran itu, apabila kejahilan yang kita ikuti pasti akan mendekatkan diri kita ke gaung kehancuran. Isu memboikot restoran makanan segera KFC telah dilancarkan secara besar-besaran dalam kalangan bloggers, saya tidak tahu sama ada ia berlaku secara terancang, mahu pun terjadi atas dasar kejahilan kita sendiri. Namun demikian, hal ini sedikit sebanyak mengundang rasa kecewa dalam kalangan pengurus-pengurus kanan KFC Holdings Berhad - dan sudah tentu juga bagi Pihak Tan Sri Muhammad Ali Hashim, CEO JCorp yang menguasai syarikat Kulim Berhad, dan pada masa yang sama, Kulim Berhad merupakan pemegang saham terbesar dalam KFC Holdings Berhad.

Nampaknya, kejahilan dan kebodohan kita selama ini, telah menyebabkan kita tidak mahu menyelidik dan mencari kebenaran, malah lebih gemar mendengar khabar angin daripada realiti. Tidak ramai yang tahu betapa susah dan gigihnya kumpulan Tan Sri Muhammaa Ali Hashim bertungkus-lumus untuk beberapa tahun, semata-mata mahu menguasai KFC Holdings daripada tangan orang lain. Keluar masuk mahkamah dan pelbagai lagi cabaran, demi memastikan KFC Holdings menjadi milik orang Islam. Namun demikian, apabila kita malas untuk mencari kebenaran, maka yang kita peroleh adalah kejahilan. Dan apabila kejahilan yang kita sebarkan ia bukan sekadar membuka pintu fitnah, bahkan menunjukkan mentaliti umat Islam yang lebih mudah dipengaruhi oleh khabar angin daripada menyelidik terlebih dahulu sesuatu maklumat yang diterima.

Sejak akhir-akhir ini tersebar luas kempen untuk memboikot KFC di seluruh Malaysia, tidak kurang juga risalah yang bertaburan di masjid-masjid menyeru umat Islam Malaysia agar memboikot KFC Malaysia. Yang lebih malang, kempen boikot KFC yang penuh dengan fitnah ini datangnya daripada mulut mereka yang tahu hukum hakam agama bahkah bergelar Imam dan Ustaz. Padahalnya, mereka sendiri tanpa sedar menyokong rejim Ziones dengan menghisap rokok di kaki tangga masjid. Bukankah lebih molek dan baik jika lakukan kempen membiokot rokok? tidakkah kita tahu rokok itu haram hukumnya? membawa banyak fasad (kerosakan) ke atas tubuh badan manusia? Dan pelik apabila ada manusia yang menyuruh memboikot makanan yang halal tetapi berdiam diri tentang rokok? Mengapa sampai begitu jahilnya kita ini? Jika kita rasa bahawa kita tidak tahu, sama ada KFC Malaysia terlibat dalam menyalurkan royalti (bayaran cukai) kepada KFC Amerika Syarikat yang menyokong Israel, lebih baik kita diam. Jangan membawa fitnah ke sana ke mari, semata-mata kerana kita sendiri tidak berapa pasti maklumat tersebut dan hanya mendengar khabar angin.

Saya sempat menghubungi pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebentar tadi- ternyata mereka sangat kecewa dengan kempen kotor lagi tidak bermaruah ini. Jelas, masyarakat kita kurang mengambil berat terhadap kesahihah sumber maklumat dan kurang amanah dalam ilmu pengetahuan. Perlu dijelaskan, bahawa KFC Malaysia hanya menggunakan jenama (brand) KFC semata-mata dan tidak membayar apa-apa cukai atau sebarang keuntungan kepada KFC induk di Amerika Syarikat. Cuma membayar yuran penggunaan jenama. KFC Malaysia adalah hak milik kita. Ia halal di makan tidak seperti rokok.

Menurut Pegawai-pegawai kanan Tan Sri Muhammad Ali Hashim, ini semua adalah fitnah dan boleh menjejaskan pendapatan para pekerja di restoran-restoran KFC di seluruh Malaysia yang berjumlah 19 000 orang itu. Malah, rata-rata pekerjanya terdiri daripada orang Melayu-Islam. Jika para pemboikot itu sanggup menyediakan pekerjaan baharu kepada mereka, itu tiada masalah, silalah boikot. Tetapi malangnya, yang kita tahu hanya memboikot, apabila disuruh untuk menderma ke dalam tabung bantuan rakyat Palestin kita hanya sanggup masukkan RM 5 saja ke dalam peti derma di tepi pintu masjid. Sekarang, mari kita bertanya di manakah kita letakkan keutamaan jihad kita? memboikot sebuah produk yang terbukti salah untuk diboikot atau menggandakan jumlah derma kita kepada rakyat Palestin? Tepuk dada, tanya iman dan bukan tanya kepada Aiman.

Saya tegaskan sekali lagi, tiada salah untuk memboikot - tetapi biar secara bijaksana, berhikmah dan berilmu. Pilih betul-betul produk yang jelas menyalurkan bantuan kepada Rejim Ziones tersebut, jangan main sedap boikot saja. Umat Islam mundur kerana kita ketepikan soal (bijaksana) sebab kita jarang baca al-Quran. Lantaran itu kita mudah diperkotak-katik oleh bangsa lain. Adalah lebih baik pada pandangan saya kita boikot semua jenama rokok. Jelas ia memudaratkan kesihatan, malah jenama syarikat-syarikat besar rokok antarabangsa belum tentu selamat daripada dikaitkan dengan negara Israel.

Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sesiapa sahaja, pergilah menjamu selera di restoran-restoran KFC, jangan ragu dan jangan gusar. Ia bukan sahaja halal, malah KFC Malaysia adalah milik orang Islam dan tidak terlibat dalam menyumbang wang atau royalti kepada negara Israel. Malah, ramai yang tidak tahu berapa juta ringgit yang telah didermakan oleh JCorp hasil keuntungan KFC kepada tabung rakyat Palestin. Semua ini memerlukan kita berhati-hati sebelum memboikot.